AIA AFG Takaful Berhad sasar Takaful Keluarga Terbesar

AIA sasar takaful keluarga terbesar

Posted on the January 29th, 2011 under Ekonomi by Koko Jumbo

AIA AFG Takaful Bhd, pengendali takaful terbaru menyasar menjadi antara tiga syarikat takaful keluarga terbesar di Malaysia dalam tempoh tiga tahun menerusi kelebihan akses pasaran yang dimiliki dua pemegang saham utamanya.

Syarikat yang dilancarkan semalam itu adalah usaha sama antara American International Assurance Bhd (AIA) dengan Alliance Bank Malaysia Bhd, anak syarikat milik penuh Alliance Financial Group Bhd (AFG).

AIA, antara pengendali insurans hayat terbesar di Malaysia memegang 70 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan manakala Alliance Bank memiliki baki kepentingan itu.

AIA AFG Takaful adalah satu daripada empat lesen takaful keluarga baru yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada 1 September tahun lalu.

Ketua Eksekutif AIA AFG Takaful, Wan Azman Wan Mamat, berkata syarikat yang ditubuhkan dengan modal berbayar RM100 juta itu mampu menjadi antara pengendali takaful keluarga utama di Malaysia menerusi pendekatannya mempelbagaikan rangkaian pengedaran serta menawarkan produk yang lebih khusus kepada pelanggannya.

“Syarikat memperkenalkan tiga produk pertama yang menepati keperluan pasaran iaitu A-Mas, A-Prima dan Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT),” katanya kepada media selepas majlis pelancaran syarikat itu di Kuala Lumpur.
Majlis yang disempurnakan Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Mohd Razif Abdul Kadir, turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan AIA Group Ltd, Mark Tucker; Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan AIA Bhd, Khor Hock Seng dan Pengerusi AFG, Datuk Oh Chong Peng.

Wan Azman berkata, pasaran takaful keluarga di Malaysia kini dikuasai Etiqa Takaful dengan 25 peratus penguasaan diikuti Prudential yang menguasai 18 peratus pasaran.

Bagi mencapai sasaran menjadi antara tiga pengendali takaful utama di Malaysia, katanya, pihaknya perlu merancang meningkatkan bilangan tenaga kerjanya kepada 60 orang sebelum akhir tahun ini.

“Syarikat juga akan membuat pelaburan yang ketara untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur pengedaran produk serta sistem teknologi maklumat,” katanya.

Sementara itu, Hock Seng yang juga Pengarah AIA AFG Takaful berkata, syarikat usaha sama itu akan menggunakan peluang daripada rangkaian luas Alliance di 90 cawangan dan dua juta pelanggan di seluruh negara.

Katanya, syarikat itu akan bekerjasama dengan bank berkenaan untuk menumpu kepada kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha menembusi pasaran luar bandar.

“Peluang yang ada untuk sebuah syarikat baru seperti AIA AFG Takaful adalah akses terhadap rangkaian pengedaran kukuh yang akan membezakan syarikat ini dari segi potensi pertumbuhannya,” katanya.

AIA kini mempunyai 1.5 juta pemegang polisi, kira-kira 1,000 kakitangan, 10,000 ejen, 23 cawangan dan 124 pejabat agensi di seluruh negara.

Source: Berita Harian

About admin

District Manager, NADI INSAN SOLUTION, AIA Public Takaful Berhad. Memetik tafsir Surah Yusuf: 46-48 bagi Perancangan Kewangan Islam: "Hasil tujuh tuaian yg baik disimpan utk digunakan dalam tujuh tahun yg meleset". Takaful > Lubuk Emas: Kejar Akhirat, Dunia akan mengejar kita... PELUANG KERJAYA SAMBILAN/ SEPENUH MASA Hubungi 019-578 3878 atau emel ke nadiinsan@gmail.com
This entry was posted in Insurance/ Takaful news. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>